Sunday, November 21, 2010

SMK Padang Midin juara bersih negeri

KUALA TERENGGANU 15 Nov. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini menjuarai Pertandingan Kebersihan Kawasan Sekolah peringkat negeri baru-baru ini.
SMK Padang Midin yang mewakili daerah ini bagi kategori sekolah menengah menerima wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dalam satu majlis di sini baru-baru ini.
Pertandingan anjuran kerajaan negeri dan Jabatan Pelajaran itu diadakan sebagai perangsang dalam usaha menyemai budaya menghargai dan mengamalkan aspek kebersihan.
Pengetuanya, Anuar Harun ketika ditemui menyifatkan ia kemenangan bagi semua warga sekolah yang bersama-sama memastikan kawasan sekolah bukan sahaja bersih tetapi juga indah.
Katanya, persekitaran sekolah sebegitu menyediakan suasana yang kondusif kepada guru, kakitangan dan pelajar dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata, untuk memastikan kebersihan dan keindahan sekolah dapat dikekalkan sebuah jawatankuasa turut dibentuk yang melibatkan kakitangan pengurusan, guru dan pelajar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Katanya, adalah menjadi hasrat sekolah untuk memastikan keadaan ini berkekalan dengan terus mendidik para pelajar untuk tidak memandang remeh soal kebersihan dalam semua kegiatan.
''Dengan persekitaran yang bersih dan indah secara tidak langsung minda dan fizikal ceria di samping memupuk amalan kebersihan yang menjadi tuntutan agama," katanya.
Anuar berkata, sempena dengan pertandingan itu juga beberapa aktiviti diadakan oleh pihak sekolah termasuk pertandingan kelas bersih dan ceria, melukis poster kebersihan, pantun bertemakan kebersihan, menceriakan taman dan kolam dan ceramah kebersihan.

No comments:

Post a Comment